Khamis, Januari 01, 2009

ABM Fajeer - sinonim jika memperkatakan sastera, pemimpin penulis bahkan pemimpin masyarakat. Sinonim juga dengan nama Sandakan. Begitulah apa yang barangkali difahami oleh mereka yang begitu mengenali tokoh berkenaan. Saya merakamkan foto ini semasa mengadakan majlis taklimat pilihan raya umum Negara awal tahun 2008. Abang ABM seorang yang lemah lembut ketika bercakap, mudah tersenyum dengan sesiapa juga yang bertemu dengannya. Meskipun begitu, bila berkarya, intipati karyanya cukup sinis dan berkesan mencabar daya fikiran pembaca. ABM Fajeer merupakan penerima Anugerah Penyair Islam Sabah. Buku puisi beliau 'Taufan' pernah diulas oleh Jasni Matlani.

Rabu, Disember 31, 2008

Tahun 2008 merakamkan begitu banyak peristiwa dan kenangan. Tahun itu juga menyebabkan saya mengetuai barisan kepimpinan IPS selama 10 tahun sejak mengambil alih daripada Jasni Matlani pada tahun 1998. Mereka ini yang banyak menghadiahkan bantuan. Datuk Haji Shuhaibun paling banyak memberikan perangsang, dorongan serta dukungan. Banyak bibit pengalaman yang beliau ada dicurahkannya seperti membajakan benih yang baru bertunas. Sahabat-sahabat saya ini pula tidak kurang penting mereka, tanpa mereka saya tidak fikir IPS terus mampu bertahan hingga sekarang. Kekuatan kami tidak diutuhkan oleh kekuatan wang tetapi keakraban, persahabatan dan nilai-nilai sehati segerak sejiwa. Tahun 2009 tentu tidak menjanjikan apa-apa jika sekadar mengharapkan ia memberikan sesuatu tanpa anjakan minda yang bernas serta strategi yang drastik. Azam atau apa juga yang diucapkan tetap sekadar kata-kata manis yang indah untuk diperkatakan di mana-mana. Tanpa kekuatan silaturrahim dan persahabatan kita tidak mungkin sampai ke tempat yang dituju.

Betullah kenangan tidak boleh dibuang begitu sahaja. Saya memandang wajah mereka ini satu persatu, seorang demi seorang waima anak-anak kecil, semuanya, yang biasa sifatnya, yang rapat hinggalah kepada yang paling akrab. Mereka semua sentiasa abadi dalam jiwa raga selagi ada hayat di badan. Saya sentiasa berdoa buat mereka terutama sekali ayahanda kami, Datuk Haji Shuhaibun Yussuf. Antara mereka ada yang paling saya sayang walau sampai kapan pun.



Tahun 2000, ketika menyertai Program Pengucapan Puisi KL, saya bertemu dengan seorang kartunis yang amat terkenal yang bernama Zainal Buang Hussien. Kami duduk bersantai melepaskan penat setelah sehari suntuk merendah Sungai Tembeling. Ketika itu kami telah berada di Taman Negara Pahang. Dari Sabah kami hanya bertiga; selain daripada saya ialah Haji Ismaily Bongsu dan arwah Ramlee Haji Golah. Program tersebut sebenarnya berpusat di Kuala Lumpur tetapi perjalanan ke Taman Negara Pahang merupakan sebahagian aktiviti yang disediakan penganjur kepada para peserta termasuk para penyair antarabangsa.